Saturday, April 18, 2009

H.A.T.I

17 APRIL 2009 (Khutbah Jumaat)

Hati merupakan organ penting yang mempengaruhi keseluruhan tubuh badan. Hati juga merupakan nikmat kurniaan ALLAH yang agung.


Di akhirat kelak, hati akan menjadi tempat penilaian bagi ALLAH s.w.t bagi setiap amal yang telah dilakukan.


Segala niat bagi sesuatu amal akan bermula dari hati, jika ikhlas hatinya maka barulah dikatakan akan mendapat pahala.


Oleh sebab itu hati perlu dijaga pada setiap masa agar tidak mati. Hal ini kerana apabila hati mati, ia akan memberi kesan buruk kepada anggota badan dan seterusnya merosakkan sesuatu masyarakat.

Hukum menjaga hati adalah wajib, apabila tidak dijaga dengan sering melakukan dosa maka hati akan menjadi hitam.

Rasulullah s.a.w bersabda “Barangsiapa yang melakukan dosa maka akan timbullah satu titik hitam pada hatinya tetapi apabila mereka bertaubat maka titik hitam tadi akan terhakis”

ALLAH s.w.t berfirman “Sekali-kali tidak! Bahkan apa yang mereka kerjakan itu telah menutupi hati mereka” (al-Mutaffifin:14)


Apabila titik hitam bertambah, hati akan menjadi kotor. Oleh sebab itu kebanyakan golongan intelektual zaman sekarang tidak mampu untuk mengamalkan segala ilmu yang telah dipelajari.


Firman ALLAH s.w.t “Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras, sehingga(hatimu) seperti batu, bahkan lebih keras. Padahal dari batu-batu itu pasti ada sungai-sungai yang (airnya) memancar daripadanya. Ada pula yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya. Dan ada pula yang meluncur jatuh kerana takut kepada ALLAH. Dan ALLAH tidaklah lengah terhadap apa yang kamu kerjakan” (al-Baqarah:74)

Betapa keras dan degilnya hati manusia yang sudah hitam. Secara tidak langsung membunuh sanubari seseorang itu dan akan menghitamkan seluruh kehidupannya.


Kegagalan untuk bertanggungjawab menjaga hati daripada mati akan dipersoalkan oleh ALLAH di akhirat kelak.

ALLAH memberi peringatan dalam firmannya “Maka apakah orang-orang yang dibukakan hatinya oleh ALLAH untuk (menerima) agama islam lalu dia mendapat cahaya dari tuhannya (sama dengan orang yang hatinya membatu)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah membatu untuk mengingat ALLAH. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata”
(az-Zumar:22)

Hati akan menjadi hitam apabila tidak diberikan santapan rohani yang berkesan. Zikrullah, membaca dan menghafal al-Quran, dan bermuhasabah adalah santapan rohani yang paling berkesan dalam menjaga hati.

Firman ALLAH s.w.t “(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingat ALLAH hati menjadi tenteram” (ar-Ra’d:28)

Syeikh Ibrahim Adham menggariskan 10 kriteria manusia yang hatinya mati:

1. Orang mengaku kenal ALLAH s.w.t tetapi tidak berusaha untuk menambah amalnya.

2. Orang yang mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w tetapi tidak menghidupkan dan mengamalkan sunnahnya.

3. Orang yang membaca al-Quran tetapi tidak mengamalkan hukum-hukum di dalamnya.

4. Orang yang ‘makan’ nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH s.w.t tetapi tidak pernah bersyukur dengan nikmat tersebut.

5. Orang yang mengakui bahawa syaitan itu adalah musuh mereka namun tidak melawan segala ajakan dan hasutan syaitan.

6. Orang yang mengakui kewujudan syurga namun tidak berusaha untuk mengejar ganjaran syurga.

7. Orang yang mengakui kewujudan neraka namun tidak berusaha untuk melepaskan diri daripada cengkaman neraka.

8. Orang yang mengetahui pasal alam kematian namun tidak mengambil iktibar daripadanya.

9. Orang yang sibuk membuka aib orang lain namun tidak pernah menjaga keaibannya sendiri.

10. Orang yang sering mengiring jenazah ke tanah perkuburan tetapi tidak pernah mengambil pengajaran walaupun sedikit.


Syeikh ibni ayatollah (kalo salah btolkan..khatib cakap laju sangat) menggariskan 3 perkara yang akan menyebabkan hati seseorang itu mati:

1. Cintakan dunia dan takut mati(tidak bersedia jika nyawa ditarik)
2. Lalai daripada mengingati ALLAH dan Rasul.
3. Makan yang berlebihan

Diceritakan suatu kisah mengenai Sayyidina Ali dan isterinya Fatimah. Pada suatu hari dikala mereka hanya memiliki 3 biji tamar untuk dijadikan bekalan makanan pada hari itu.

Mereka telah didatangi oleh golongan fakir miskin sebanyak tiga kali. Maka bekalan makanan pada hari itu telahpun diberikan kepada golongan fakir dan habis tanpa sempat mereka menjamah walaupun sedikit.

Pada penghujung harinya Sayyidina Ali mengucapkan alhamdulillah, maka Fatimah sedikit terkejut dengan tingkah laku suaminya. Dan bertanya kenapa? Maka Ali menjawab “Tetamu Rasulullah s.a.w telahpun datang ke rumah kita pada hari ini”

Ya kelaparan merupakan tetamu Rasulullah s.a.w. Hal ini kerana Rasulullah s.a.w tidak pernah tidur dalam keadaan perutnya yang kenyang. Bagaimanakah umatnya pada hari ni yang tidur dalam kekenyangan sedangkan amal hariannya masih lagi terumbang-ambing.

Tiga cara yang digariskan untuk memelihara hati daripada mati:

1. Sentiasa bersedia menghadapi kematian dengan beramal seikhlas dan sedaya mungkin
2. Sentiasa memujuk hati untuk mengingati ALLAH dalam apa jua keadaan sekalipun.
3. Bergaul dengan golongan alim ulama’ dan jadikan mereka sebagai rujukan selain daripada Quran dan sunnah.

Sahabat-sahabat sekalian marilah kita sama-sama berusaha untuk memelihara hati ini daripada terjerumus ke lembah hitam.

*Hati kita berbentuk ape ek?
*Aargh..lpas ni tkleh makan banyak lagi..huh..

Wallahua'lam

1 comment:

Rue Anemone said...

hati ku kompem itam legam..huu~