Thursday, June 24, 2010

Paksarela..

BISMILLAH

25 JUN 2010



Antara perkara yang perlu ada ketika khutbah adalah pesanan ataupun peringatan kepada jemaah masjid supaya sentiasa takut kepada ALLAH.

Kebiasaannya ia diungkapkan melalui perkataan arab 'ittaqullah' bermaksud takutlah kepada ALLAH.

Mesej yang jelas diberikan oleh tuan Khatib bahawa pesanan ini seharusnya difahami oleh setiap jemaah yang hadir supaya mereka kembali rasa takut kepada ALLAH.

Jadi bagi memudahkan mesej ini difahami oleh jemaah, ia boleh disampaikan dalam mana-mana bahasa selagi ia difahami oleh seisi jemaah.

Dalam khutbah kali ini, tuan Khatib menyampaikan sepotong hadith berkenaan kisah Abdullah Amru dengan Rasulullah s.a.w.

Mafhum hadith:-

Suatu hari Abdullah Amru membandingkan amalannya dengan para sahabat yang telah dijamin syurga. Walaupun para sahabat ini telah dijanjikan syurga pada ketika itu namun amal soleh mereka masih tetap meningkat dari hari ke sehari.

Maka Abdullah Amru berhasrat untuk meningkatkan amal solehnya agar dapat membantunya di akhirat kelak. Maka beliau berhajat untuk berpuasa pada setiap hari.

Maka cerita ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah pun bertanya kepada Abdullah Amru mengenai berita tersebut.

Setelah pertemuan itu, maka Rasulullah s.a.w pun bersabda bahawa amal soleh dalam Islam bukanlah bersifat penyiksaan dan ia lebih berdasarkan kemampuan seseorang itu.

Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan Abdullah Amru untuk berpuasa 3 hari di setiap bulan. Tapi kemudian Abdullah mengatakan dia mampu untuk berbuat lebih daripada itu.

Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan supaya beliau berpuasa sehari berbuka 2 hari. Sekali lagi Abdullah Amru mengatakan bahawa beliau mampu untuk berbuat lebih daripada itu.

Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan supaya Abdullah Amru mengikut syariat Nabi Daud a.s supaya berpuasa sehari kemudian berbuka sehari.

Sekali lagi Abdullah Amru berkata bahawa dia mampu untuk berbuat lebih daripada itu. Dan kemudian Rasulullah s.a.w bersabda "Tidak ada puasa yang lebih hebat daripada puasa nabi Daud a.s"

Pada usia Abdullah Amru yang tua beliau berkata bahawa alangkah mudahnya jika dia menuruti puasa yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w sewaktu dia muda dahulu kerana pada usia ini beliau sudah tidak larat untuk mengikut puasa nabi Daud a.s.

Kemudian tuan Khatib berpesan supaya datang ke masjid seawal yang mungkin pada hari jumaat. Beliau juga menegaskan beberapa larangan ketika khutbah pada hari jumaat.

Antaranya ialah memegang atau melangkah bahu jemaah lain untuk ke saf yang hadapan. Hal ini kerana akan menganggu fokus jemaah lain yang sedang khusuk mendengar khutbah.

Kemudian beliau berpesan lagi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda supaya memendekkan waktu khutbah dan memanjangkan waktu solat.

*
Sedap betul jambu kt depan masjid tu..
*Boleh tk kalo kita paksa diri kita beramal?

WALLAHU'ALAM

Sunday, June 13, 2010

Muflis

BISMILLAH

11 JUN 2010



Sidang jumaat pada hari ini diperingatkan oleh tuan khatib agar sentiasa menjaga niat dalam melakukan sesuatu amal kebaikan.

Hal ini kerana beliau khuatir jika sesuatu amalan tersebut dilakukan walaupun ia baik disisi Islam namun mungkin akan ditolak oleh Allah s.w.t berdasarkan beberapa perkara.

Antaranya ialah sifat ujub dalam diri. Ujub merupakan satu sifat dalaman yang tidak diketahui oleh orang lain. Ia lebih berbentuk monolog dalaman atau kata hati seseorang.

Perhalusilah setiap amalan agar tidak dicemari oleh sifat ujub. Tuan khatib berpesan lagi agar menjauhi sifat tersebut supaya tidak kecewa ketika di akhirat kelak kerana amal ditolak oleh Allah s.w.t.

Begitupun, masih perlu diingatkan bahawa untuk seseorang itu masuk ke syurga Allah s.w.t, bukanlah semata melalui amal soleh yang dilakukan di dunia.

Malah sebenarnya setiap makhluk yang dikurniakan syurga adalah disebabkan oleh rahmat atau keredhaan Allah s.w.t ke atas makhluknya.

Carilah keredhaan Allah melalui amal soleh dan amal jariah. Hapuskan perasaan ujub dengan cara memulakan setiap perkara dengan BISMILLAH dan diakhiri dengan istighfar dan lafaz syukur.

Mafhum hadith:

Rasulullah bertanya kepada sahabat,

"Tahukah kamu siapakah golongan yang muflis?"

Sahabat menjawab,

"Orang muflis adalah orang yang kehabisan hartanya"

Rasulullah menjawab,

"Orang yang muflis adalah orang yang berbuat amal soleh yang banyak, tetapi ketika di akhirat amalnya diambil oleh orang-orang yang dianiayainya sewaktu di dunia dulu sehingga habis segala amal solehnya"

Dalam menjaga hubungan dengan Allah jangan lupa jaga hubungan dengan makhluk lain. Takut-takut nanti jadi golongan muflis.

*Nak muflis ke mukhlis..

WALLAHUA'LAM