Antara perkara yang perlu ada ketika khutbah adalah pesanan ataupun peringatan kepada jemaah masjid supaya sentiasa takut kepada ALLAH.
Kebiasaannya ia diungkapkan melalui perkataan arab 'ittaqullah' bermaksud takutlah kepada ALLAH.
Mesej yang jelas diberikan oleh tuan Khatib bahawa pesanan ini seharusnya difahami oleh setiap jemaah yang hadir supaya mereka kembali rasa takut kepada ALLAH.
Jadi bagi memudahkan mesej ini difahami oleh jemaah, ia boleh disampaikan dalam mana-mana bahasa selagi ia difahami oleh seisi jemaah.
Dalam khutbah kali ini, tuan Khatib menyampaikan sepotong hadith berkenaan kisah Abdullah Amru dengan Rasulullah s.a.w.
Mafhum hadith:-
Suatu hari Abdullah Amru membandingkan amalannya dengan para sahabat yang telah dijamin syurga. Walaupun para sahabat ini telah dijanjikan syurga pada ketika itu namun amal soleh mereka masih tetap meningkat dari hari ke sehari.
Maka Abdullah Amru berhasrat untuk meningkatkan amal solehnya agar dapat membantunya di akhirat kelak. Maka beliau berhajat untuk berpuasa pada setiap hari.
Maka cerita ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah pun bertanya kepada Abdullah Amru mengenai berita tersebut.
Setelah pertemuan itu, maka Rasulullah s.a.w pun bersabda bahawa amal soleh dalam Islam bukanlah bersifat penyiksaan dan ia lebih berdasarkan kemampuan seseorang itu.
Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan Abdullah Amru untuk berpuasa 3 hari di setiap bulan. Tapi kemudian Abdullah mengatakan dia mampu untuk berbuat lebih daripada itu.
Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan supaya beliau berpuasa sehari berbuka 2 hari. Sekali lagi Abdullah Amru mengatakan bahawa beliau mampu untuk berbuat lebih daripada itu.
Maka Rasulullah s.a.w mencadangkan supaya Abdullah Amru mengikut syariat Nabi Daud a.s supaya berpuasa sehari kemudian berbuka sehari.
Sekali lagi Abdullah Amru berkata bahawa dia mampu untuk berbuat lebih daripada itu. Dan kemudian Rasulullah s.a.w bersabda "Tidak ada puasa yang lebih hebat daripada puasa nabi Daud a.s"
Pada usia Abdullah Amru yang tua beliau berkata bahawa alangkah mudahnya jika dia menuruti puasa yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w sewaktu dia muda dahulu kerana pada usia ini beliau sudah tidak larat untuk mengikut puasa nabi Daud a.s. Kemudian tuan Khatib berpesan supaya datang ke masjid seawal yang mungkin pada hari jumaat. Beliau juga menegaskan beberapa larangan ketika khutbah pada hari jumaat.
Antaranya ialah memegang atau melangkah bahu jemaah lain untuk ke saf yang hadapan. Hal ini kerana akan menganggu fokus jemaah lain yang sedang khusuk mendengar khutbah.
Kemudian beliau berpesan lagi bahawa Rasulullah s.a.w bersabda supaya memendekkan waktu khutbah dan memanjangkan waktu solat.
*Sedap betul jambu kt depan masjid tu.. *Boleh tk kalo kita paksa diri kita beramal?
Sidang jumaat pada hari ini diperingatkan oleh tuan khatib agar sentiasa menjaga niat dalam melakukan sesuatu amal kebaikan.
Hal ini kerana beliau khuatir jika sesuatu amalan tersebut dilakukan walaupun ia baik disisi Islam namun mungkin akan ditolak oleh Allah s.w.t berdasarkan beberapa perkara.
Antaranya ialah sifat ujub dalam diri. Ujub merupakan satu sifat dalaman yang tidak diketahui oleh orang lain. Ia lebih berbentuk monolog dalaman atau kata hati seseorang.
Perhalusilah setiap amalan agar tidak dicemari oleh sifat ujub. Tuan khatib berpesan lagi agar menjauhi sifat tersebut supaya tidak kecewa ketika di akhirat kelak kerana amal ditolak oleh Allah s.w.t.
Begitupun, masih perlu diingatkan bahawa untuk seseorang itu masuk ke syurga Allah s.w.t, bukanlah semata melalui amal soleh yang dilakukan di dunia.
Malah sebenarnya setiap makhluk yang dikurniakan syurga adalah disebabkan oleh rahmat atau keredhaan Allah s.w.t ke atas makhluknya.
Carilah keredhaan Allah melalui amal soleh dan amal jariah. Hapuskan perasaan ujub dengan cara memulakan setiap perkara dengan BISMILLAH dan diakhiri dengan istighfar dan lafaz syukur.
Mafhum hadith:
Rasulullah bertanya kepada sahabat,
"Tahukah kamu siapakah golongan yang muflis?"
Sahabat menjawab,
"Orang muflis adalah orang yang kehabisan hartanya"
Rasulullah menjawab,
"Orang yang muflis adalah orang yang berbuat amal soleh yang banyak, tetapi ketika di akhirat amalnya diambil oleh orang-orang yang dianiayainya sewaktu di dunia dulu sehingga habis segala amal solehnya"
Dalam menjaga hubungan dengan Allah jangan lupa jaga hubungan dengan makhluk lain. Takut-takut nanti jadi golongan muflis.
Kekejaman Israel dan rejim Zionis semakin menjadi-jadi. Marilah kita sama-sama ambil tahu dengan isu Palestin ini kerana isu ini merupakan isu utama umat Islam ketika ini.
Seperti yang kita ketahui bahawa Israel telah menghantar komando mereka untuk menghalang Kapal Mavi Marmara dari menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Palestin.
Dalam peristiwa tersebut, dilaporkan hampir 16 orang disahkan terbunuh. Manakala lebih dari 40 cedera dalam peristiwa tersebut.
Pelbagai pendapat yang kita dapat lihat hari ini. Antaranya seperti pihak konvoi yang terlebih dahulu menyerang askar Israel setibanya mereka atas dek kapal. Ini dibuktikan lagi dengan rakaman video yang disiarkan oleh CNN.
Kita tidak tahu apa yang sebenarnya yang berlaku dalam kejadian tersebut. Mungkin juga video itu telah diubahsuai supaya kelihatan seperti askar Israel yang diserang dahulu.
Mereka juga bijak memanipulasi keadaan sama seperti kejadian-kejadian terdahulu. Sememangnya mereka bangsa yang durjana. Jangan mudah percaya.
Apa yang pasti Israel tetap bersalah kerana mereka mengacau perairan antarabangsa, sedangkan jarak kapal ke Gaza masih dlm lingkungan 64km..
Mengikut laporan jumlah rakyat Malaysia yang berada dalam kapal tersebut adalah seramai 12 orang. Semoga Allah melindungi mereka dan memberi mereka kekuatan untuk menghadapai ujian ini.
Bagi mereka yang baru sahaja mengikuti isu Lifeline 4 Gaza ini, kapal konvoi ini disertai oleh banyak NGO di serata dunia atas dasar kemanusiaan.
Hal ini kerana, penduduk di Gaza telah terputus bekalan makanan, perubatan dan pelbagai keperluan berbulan lamanya.
Ini secara tidak langsung telah menjadikan Gaza sebagai sebuah penjara yang tidak berbumbung terbesar di dunia.
Atas dasar perikemanusiaanla akhirnya masyarakat dunia(NGO) memutuskan untuk membawa bekalan keperluan ke Gaza melalui kawasan perairan.
Selepas ini, beberapa lagi buah kapal akan tiba menyusul selepas Mavi Marmara. Mari panjatkan doa untuk konvoi tersebut agar mereka sempat dan selamat sampai ke Gaza tanpa pertumpahan darah.
Dalam menangani isu ini, bukan sahaja sorakan suara semata-mata yang keluar. Malah kita harus mengorbankan harta dan tenaga kita untuk menyedarkan masyarakat sekeliling betapa hari ini umat Islam semakin dipijak2.
Apa yang lebih penting adalah taqwa kita kepada Allah yang sangat-sangat dituntut dalam kita berjuang menegakkan kebenaran.
Benarlah kata Sayyidina Umar al-khattab, bukan musuh yang harus kita takutkan, takutlah kepada dosa-dosa yang kita lakukan menyebabkan bantuan daripada Allah ditangguhkan.
Semoga kita sama-sama berubah ke arah yang lebih baik, bertaqwa, dan bersatu demi menyelamatkan saudara Islam kita di Palestin.
WALLAHUA'LAM
*Parti politik jangan berebut pulak nk lead demo nnti.. *Jangan lupa BOIKOT..